Item subjektif bermaksud item yang mempunyai jawapan terbuka, iaitu yang tidak spesifik seperti jawapan kepada item objektif. Item subjektif ini membenarkan subjektiviti dalam jawapan yang diberikan. Item ini digunakan untuk pelajar mempamerkan kedalaman pengetahuan yang dimiliki. Justeru, item ini sesuai untuk mengukur tahap kognitif yang lebih tinggi, seperti mengukur penguasaan menganalisis,mensintesis, membuat pertimbangan, menilai dan membuat keputusan, yang memerlukan kemahiran berfikir. Item subjektif juga memberi kebebasan kepada pelajar dari segi gaya persembahan jawapan dan juga panjang atau pendek jawapan tersebut
Prinsip Am Penyediaan Item Subjektif
Item subjektif ini biasa berbentuk esei, sama ada berjawapan pendek, sederhana atau panjang. Justeru, prinsip penyediaan item jenis esei ini adalah sama bagi ketiga-tiga kategori soalan tersebut. Berikut adalah tujuh prinsip am untuk menyediakan soalan berbentuk esei:
Prinsip
* Penulis perlu menyemak sukatan pelajaran dan objektif pengajaran, supaya soalan yang dihasilkan menepati sukatan pelajaran dan objektif pengajaran tersebut.
* Arahan hendaklah jelas tentang panjang jawapan dan sama ada pelajar perlu menjawab dalam kertas soalan (mengisi ruang kosong) atau dalam kertas jawapan.
* Soalan hendaklah ditulis secara padat, jelas dan tidak “berbunga-bunga”,supaya pelajar tidak membuang masa untuk memahaminya.
* Aras kesukaran setiap soalan perlu setara supaya setiap soalan yang diberi markah yang sama, mempunyai aras kesukaran yang sama juga.
* Soalan perlu ditulis supaya pelajar dapat membayangkan satu kerangka struktur yang akan memandu pelajar untuk menjawab soalan tersebut.
* Tentukan terlebih dahulu perkara yang ingin diberi markah dan markahnya untuk memudahkan penyediaan skema jawapan.
* Gunakan lebih banyak soalan berjawapan pendek (1/2 muka surat) daripada soalan berjawapan panjang (2-3 muka surat), supaya lebih banyak soalan boleh diberikan.
Kata tugas adalah suatu kata kerja yang terdapat pada sesuatu item yang fungsinya ialah untuk menyatakan tugas yang perlu dibuat oleh pelajar semasa menjawab sesuatu item/soalan.
Kata Tugas Item Subjektif
Sebelum kita membina item subjektif, kita perlu memahami jenis kata tugas yang sesuai digunakan untuk membina item tersebut. Kata tugas ini akan mengarahkan pelajar untuk memberikan jawapan seperti yang dikehendaki oleh soalan. Oleh itu, pemilihan kata tugas yang sesuai untuk sesuatu item adalah sangat penting. Kegagalan menggunakan kata tugas yang tepat dengan hasrat penulis item akan menyebabkan pelajar gagal memberikan jawapan seperti yang ditentukan dalam peraturan memberi markah.
Kata tugas mempunyai kaitan yang rapat dengan tujuan ujian yang menggunakan item berkenaan. Bagaimanapun, sesuatu kata tugas itu tidaklah unik bagi satu tujuan ujian sahaja, kerana kata tugas yang sama boleh menghasilkan jawapan yang berlainan. Terdapat kata tugas yang boleh berdiri dengan sendiri untuk menyatakan kehendak soalan. Bagaimanapun, terdapat kata tugas yang memerlukan sokongan daripada beberap perkataan lain untuk menjadikan kehendak soalan itu lebih jelas. Jadual berikut menunjukkan beberapa kata tugas dan jawapan yang diharapkan.
* Analisiskan - Membuat pernyataan terperinci tentang suatu aspek atau perkara yang dikomunikasikan.
* Anggarkan - Memberikan nilai kuantitatif yang dianggap sesuai dengan keadaan yang ditetapkn dengan menggunakan satu pengetahuan tertentu.
* Apakah - Memberi maklumat yang khusus atau spesifik.
* Bagaimanakah - Memperihalkan, memberi penerangan tentang keadaan langkah atau kejadian.
* Bandingkan - Menyatakan persamaan dan perbezaan antara dua atau lebih perkara.
* Berapakah - Memberi kuantiti.
* Bezakan - Menyatakan kelainan, ketidaksamaan antara dua atau lebih perkara.
* Bilakah - Menyatakan masa atau waktu.
* Binakan - Membuat sesuatu dengan menggunakan kaedah atau alat tertentu.
* Bincangkan - Memberi penerangan daripada pelbagai aspek.
PEMBINAAN ITEM SUBJEKTIF
Pembinaan Item Esei Berjawapan Pendek
Item jenis ini memerlukan pelajar memberi jawapan pendek (biasanya satu perenggan) yang memberi peluang kepada mereka menyampaikan pendapat, hujah atau idea sendiri. Item bentuk ini amat sesuai untuk mengukur pengetahuan, kefahaman dan aplikasi/penyelesaian masalah mudah, yang turut melibatkan kemahiran berfikir. Soalan esei berjawapan pendek ini boleh dibina supaya jawapannya menjadi lebih objektif (lihat contoh) daripada soalan esei berjawapan terbuka. Dengan jawapan yang terbatas ini, pemeriksaannya dapat diselaraskan dengan mudah, dan ini dapat meningkatkan kebolehpercayaan soalan tersebut. Di sini, walaupun jawapannya lebih objektif daripada jawapan esei terbuka, jawapan esei pendek masih lagi agak subjektif/pelbagai. Oleh kerana jawapan esei pendek ini masih pelbagai, maka pembina soalan perlu menyediakan skema jawapan yang merangkumi semua jawapan yang mungkin.
Pembinaan Item Esei Berjawapan Terbuka
Item bentuk ini membenarkan pelajar merancang dan memberi jawapan secara bebas, justeru, mengundang pelbagai kemungkinan jawapan daripada mereka. Misalnya, pelajar bebas mengemukakan idea, pendapat dan tanggapan, mengorganisasikan idea, membina hujah yang logis, memberikan penilaian terhadap sesuatu pemikiran atau mengaitkan pemikiran dengan perasaan. Oleh itu, jenis item ini amat sesuai untuk mengukur konstruk, yang memerlukan pelajar menggunakan beberapa kemahiran seperti menginterpretasi, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Item jenis ini juga membolehkan pelajar mempamerkan proses pemikiran kritis dan kreatif. Pelajar juga akan menghadapi masalah semasa menjawab soalan berjawapan terbuka ini, sebab mereka perlu mengutip dan memilih isi-isi dan idea-idea daripada
pengetahuan sendiri, menyusun isi-isi dan idea-idea ini, dan seterusnya, menulis dengan cara yang logik supaya isi-isi dan idea-idea ini dapat dikomunikasikan dengan baik. Oleh sebab jawapannya yang amat terbuka, yang mengandungi isi-isi, idea-idea dan kreativiti tertentu, maka pembina item bentuk ini perlu menyediakan skema/ peraturan pemarkahan yang jelas, terperinci dan menyeluruh, agar penilaian pencapaian pelajar dapat dibuat sewajarnya.
Walaupun item berjawapan terbuka ini sukar dijawab dan juga diperiksa, ia mempunyai
kekuatan tersendiri, iaitu dapat menggalakkan pelajar:
• menerokai pelbagai cara atau pendekatan untuk menyelesaikan sesuatu masalah;
• membuat pertimbangan dan penilaian tentang sesuatu idea atau maklumat;
• mempamerkan sesuatu idea yang asli mereka;
• mengabungkan pelbagai pengetahuan, idea dan maklumat; dan
• mengenal pasti, memilih, menyusun dan mempersembahkan sesuatu perkara atau idea
dalam bentuk komunikasi bertulis.
Friday, February 6, 2009
PEMBINAAN ITEM SUBJEKTIF
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment