Thursday, February 5, 2009

JENIS-JENIS UJIAN DAN PENILAIAN

PENGENALAN

Guru merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru bertanggungjawab menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai. Guru juga merancang dan membina instrumen penilaian, mentadbir ujian, merekod hasil penilaian, menganalisis maklumat, melapor dan menjalankan tindakan susulan yang perlu seperti aktiviti pengukuhan, pengayaan dan pemulihan.

Ujian ialah satu kaedah, tugas atau prosedur yang digunakan untuk memperoleh pemerhatian yang sistematik tentang sifat, atau trait seseorang berhubung dengan aspek pendidikan atau psikologi (Mokhtar Ismail, 1995). Ia penting dalam memperlihatkan kejayaan atau kegagalan calon dalam sesuatu peperiksaan. Selain itu ia juga berfungsi untuk memilih dan menempatkan calon dalam kumpulan pelajar tertentu serta mengenal pasti kelemahan-kelemahan pelajar.

Dalam bab ini anda akan didedahkan dengan jenis-jenis ujian dan penilaian yang biasanya dijalankan dalam konteks dunia pendidikan khususnya berkait dengan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

OBJEKTIF

Setelah anda mengikuti pelajaran pada bab ini, adalah diharapkan anda akan dapat:

1. menyenaraikan jenis-jenis ujian;

2. menyenaraikan dan menghuraikan jenis-jenis penilaian;

3. mentakrifkan penilaian formatif dan penilaian sumatif;

4. membezakan penilaian formatif dan sumatif;

5. mentakrifkan ujian rujukan norma dan ujian rujukan kriteria;

6. membezakan ujian rujukan norma dan ujian rujukan kriteria.

3.1.1 Ujian Pencapaian

Ujian pencapaian ialah ujian yang digubal oleh guru bagi mengukur sejauh mana sesuatu kumpulan murid atau seseorang murid berkenaan telah menguasai sesuatu topik yang telah dipelajari. Ujian pencapaian boleh dijalankan dalam bentuk membuat perbandingan dengan pelajar lain dalam sesuatu bilik darjah (rujukan norma) atau membuat rujukan tertentu bagi sesuatu aras dalam topik (rujukan kriteria) sesebuah dalam kurikulum. Kebanyakan pembinaan ujian pencapaian serta penskoran adalah berteraskan ujian rujukan norma. Ujian pencapaian boleh digunakan untuk mengukur aspek pencapaian akademik, aptitud, siasah, minat, sikap dan sebagainya. Ujian pencapaian akademik dapat mengukur kebolehan, pengetahuan serta kemahiran pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Ujian ini dibina oleh guru dan pada peringkat institusi seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Penggubalan pada peringkat perseorangan dikenali ujian di bilik darjah. Manakala bagi pencapaian peringkat pusat dikenali sebagai PMR, SPM, STPM dalam sebagainya.

3.1.2 Ujian Kecerdasan

Ujian kecerdasan dikenali juga ujian mental. Ujian ini cuba mengukur perbezaan di antara individu. Ujian ini banyak mengalami perubahan serentak dengan perkembangan bidang psikologi. Sejarah ujian ini bermula sejak tahun 1796. Ujian ini mula berkembang sejak Galton pada tahun 1969 apabila beliau cuba mengukur ketajaman deria, gambaran mental serta pencapaian intelektual di antara pelajar genius. Tokoh-tokoh lain yang turut terlibat dalam mengukur aspek mental termasuklah Wundt, Cattell d n Binet (Abu Bakar, 1986). Ujian kecerdasan kanak-kanak terawal ialah skala Binet-Simon.

Bagi kanak-kanak ujian kecerdasan tidak menekankan aspek kebahasaan. Ujian ini mencerminkan pengalaman pada peringkat kanak-kanak. Ujian kecerdasan memberikan bukti secara tidak langsung tentang potensi yang ditunjukkan murid-murid berdasarkan prestasinya. Ujian ini kerap kali digunakan untuk membuat telahan pencapaian di sekolah atau institusi pendidikan tinggi. Contoh ujian kecerdasan lain seperti Ujian IQ, Skala Stanford-Binet, Weschler, Ujian Lorge-Thorndike dan lain-lain.

3.1.3 Ujian Prestasi

Ujian prestasi memerlukan para pelajar membuat beberapa tugasan lain sebagai tambahan kepada menjawab soalan. Penekanan yang diberikan tertumpu kepada kebolehan murid-murid melakukan sesuatu tugasan yang diberi berbanding hanya menjawab soalan sahaja. Hal ini kerana maklumat personaliti seseorang tidak bernilai jika dia menyedari bahawa dia sedang dinilai. Dengan itu dia akan melakukan dengan sebaik yang mungkin. Dalam konteks ujian prestasi, tidak ada gerak balas boleh dianggap sebagai `baik’. Misalnya tidak ada ukuran baik atau buruknya minat seseorang itu pada dunia perladangan. Individu yang berminat boleh meneruskan ladang dan sebaliknya boleh memilih bidang lain yang bersesuaian dengan minatnya.

Pada umumnya, ujian prestasi adalah rumit. Guru bebas menggunakan apa sahaja kaedah seperti pemerhatian atau laporan kendiri untuk mendapatkan maklumat pelajar. Pemerhatian boleh dilaksanakan semasa murid melaksanakan tugas yang diberikan, misalnya perbincangan kumpulan, peranan murid dalam aktiviti. Manakala melalui laporan kendiri pelajar sendiri menilai diri sendiri melalui soal selidik tertentu yang menilai peribadi diri.

3.1.4 Ujian Diagnostik

Ujian ini mengenal pasti sesuatu perkara atau masalah yang berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran dan menentukan punca-punca yang menyebabkan masalah berkenaan berlaku. Pentadbiran ujian ini bertujuan untuk menentukan kedudukan murid dalam pelajarannya dan mengenal pasti sebab-sebab berlakunya kelemahan murid dalam pembelajarannya. Apabila sesuatu sebab dapat dikenal pasti maka tindakan selanjutnya dalam merancang dan memulihkan keadaan yang berlaku dapat dilaksanakan.

Ciri-ciri ujian diagnostik termasuklah ujian tidak memberikan skor atau gred kepada murid. Disebabkan ujian ini untuk memperbaiki kelemahan tertentu, maka ujian ini dilaksanakan pada masa pengajaran dan pembelajaran masih berjalan bukan pada akhir proses pengajaran dan pembelajaran. Maklumat daripada ujian dalam ujian ini diterjemahkan dalam bentuk profil individu berasaskan skor tentang aspek-aspek pembelajaran. Profil yang dibuat dapat memperlihatkan kepada guru tentang aspek yang belum dikuasai sepenuhnya oleh murid-murid. Contoh ujian diagnostik seperti ujian menilai bacaan murid yang bertujuan mengenal pasti kemahiran murid untuk mengenal huruf dan menyebut huruf.

Ujian ini penting kerana ia dapat mengenal pasti kelemahan murid dan ini memberikan peluang kepada guru untuk menjalankan langkah pemulihan kepada murid-murid berkenaan. Di samping mengadakan secara formal iaitu melibatkan pensel dan kertas, ujian ini juga boleh dijalankan secara soal jawab, inventory, pemerhatian dan tugasan dari semasa ke semasa.



3.1.5 Ujian Kecekapan

Ujian kecekapan ialah ujian yang digunakan oleh seseorang guru untuk menguji kebolehan atau kecekapan seseorang murid atau calon dalam melaksanakan sesuatu tugas atau aktiviti yang diberikan. Lazimnya ujian ini melibatkan penggunaan instrumen yang konkrit seperti penggunaan gambar dan radas serta tidak semata-mata tertumpu kepada aspek bahasa dan pensel-kertas melainkan sewaktu mendapatkan arahan. Contoh ujian kecekapan seperti ujian pada peringkat pra-persekolahan dengan meminta murid mencantum-cantumkan perkataan dengan gambar yang diberikan atau membina semula gambar dengan lengkap daripada potongan-potongan gambar yang diberi atau menjalankan uji kaji menggunakan radas tertentu.

3.1.6 Ujian Bakat

Ujian yang dikaitkan dengan aktiviti membuat telahan ke atas calon. Suatu waktu dahulu bakat dikenal sebagai kebolehan istimewa semulajadi yang dimiliki oleh seseorang individu. Pada umumnya ujian bakat dapat dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu: (i) ujian bakat yang berasaskan kajian secara besar-besaran. Misalnya pada tahun 1930, kajian yang dijalankan oleh Universiti Minnesota tentang bakat mekanikal; dan (ii) ujian bakat yang berasaskan kepada tujuan sesuatu ujian itu dijalankan bagi keperluan tertentu.

Pada umumnya, ujian ini memberikan maklumat asas dalam membuat telahan prestasi masa depan calon. Ujian ini lazimnya digunakan untuk pemilihan calon melakukan pekerjaan tertentu, kemasukan ke program latihan, permohonan biasiswa dan sebagainya. Contoh ujian bakat seperti ujian kemasukan ke maktab perguruan (UKELP). Ujian ini juga digunakan bagi tujuan mengelompokkan individu dalam kumpulan tertentu mengikut kebolehan calon atau individu.

3.1.7 Ujian Personaliti

Ujian personaliti ialah ujian yang disediakan untuk mengenal pasti potensi diri, personaliti, tahap kemahiran, keupayaan , minat, nilai dan sikap seseorang yang diukur melalui alat-alat (instrumen psikologi) yang berbentuk ujian, inventori, indikator dan indeks. Contoh ujian personaliti seperti Ujian Keirsey Temperament.

3.2 FORMAT UJIAN GERAK BALAS

Dalam membina item penilaian, seseorang guru boleh membina sama ada item objektif atau item subjektif atau gabungan item objektif dan item subjektif. Berikut akan dibincangkan format secara ringkat tentang pembentukan jenis soalan berkenaan. Item objektif terdiri daripada beberapa bentuk atau format seperti soalan betul-salah, soalan padanan, soalan aneka pilihan dan soalan berbentuk melengkapkan ayat atau kenyataan. Manakala item berbentuk subjektif boleh berbentuk soalan esei atau struktur.

3.2.4 Betul-salah

Soalan bentuk ini sesuai digunakan dalam bilik darjah untuk mendapatkan maklum balas murid tentang sesuatu topik pengajaran. Item ini mudah dan pantas dibina. Walau bagaimanapun soalan yang berkualiti dan baik memerlukan kemahiran dan tidaklah semudah yang disangka. Item berbentuk ini mengandungi pokok soalan berbentuk kenyataan sama ada betul atau salah. Murid dikehendaki memastikan kenyataan berkenaan sama ada betul atau salah.

Contoh:

1. Sungai Petani ibu negeri Kedah. Betul / Salah

2. Terengganu terletak di Malaysia Timur Betul / Salah

3. Manusia ialah haiwan berdarah panas Betul / Salah


3.2.5 Padanan

Soalan padanan terdiri daripada dua kumpulan objek atau perkara yang berkaitan. Calon atau murid dikehendaki menjawab soalan bentuk begini dengan cara menggaris atau menanda kedua-dua perkara yang berkaitan.


3.2.6 Aneka pilihan

Soalan berbentuk aneka pilihan pula sering digunakan dalam peperiksaan. Soalan jenis ini kerap digunakan kerana ia lebih berkesan dari aspek pengujian kualiti pemikiran, kefahaman, penguasaan kemahiran dan prestasi murid. Bentuk soalan ini mengandungi satu pokok soalan (stem) yang berfungsi sebagai soalan diikuti dengan beberapa gerak balas (pilihan jawapan). Pokok persoalan boleh berbentuk ayat tanya, ayat tidak lengkap, petikan atau kenyataan asalkan jelas dan tepat. Di antara pilihan jawapan berkenaan hanya satu sahaja jawapan yang tepat. Manakala pilihan lain dianggap sebagai pengganggu. Pengganggu hendaklah hampir sama dari segi isi, bilangan perkataan dan mirip dengan jawapan betul.

Contoh:

Harimau bintang itu berlari sangat_______________.

A. deras

B. cepat

C. kuat

D. pantas

3.2.7 Pelengkap

Bentuk soalan memerlukan calon membekalkan jawapan dalam bentuk satu perkataan atau rangkai kata untuk memberikan maklum balas kepada soalan yang berbentuk e melengkapkan penyataan atau ayat yang tidak lengkap. Pada kebiasaannya, soalan berbentuk begini menghendaki murid melengkapkan ayat dengan satu perkataan atau satu rangkai kata yang pendek. Soalan bentuk ini sesuai untuk mengukur hasil pembelajaran yang mudah, iaitu pada peringkat pengetahuan taksonomi Bloom.

Contoh:

  1. Nama ibu negeri Perlis Indera Kayangan ialah……………..
  2. Kereta pertama buatan Malaysia ialah Proton………………

Text Box: Contoh:   Nama ibu negeri Perlis Indera Kayangan ialah…………….. Kereta pertama buatan Malaysia ialah Proton………………

3.2.8 Esei

Soalan bentuk esei amat digemari oleh kebanyakan guru disebabkan pembinaannya lebih mudah berbanding dengan soalan berbentuk lain. Soalan esei memerlukan pelajar mempunyai pengetahuan yang cukup bagi membolehkan mereka menghubungkan fakta serta prinsip tertentu untuk disusun bagi membentuk satu idea, saranan atau perbincangan yang menyeluruh dan mantap. Soalan bentuk ini memberikan kebebasan sepenuhnya kepada murid untuk memilih, menyusun, menghubungkan serta membentangkan idea dengan menggunakan perkataan sendiri. Menurut Gronlund (1981) soalan jenis esei ini tidak sesuai untuk menguji soalan berbentuk fakta. Soalan esei sesuai untuk mengukur hasil pembelajaran yang tidak dapat diukur dengan menggunakan soalan objektif yang biasanya memerlukan aras kemahiran pada peringkat tinggi seperti mengukur kemahiran memilih, menyusun, mengorganisasi, dan menilai idea. Walaupun soalan esei lebih mudah untuk digubal, pemarkahannya adalah agak rumit dan seringkali mudah menimbulkan bias.

Contoh:

  1. Ceritakan pengalaman yang kamu tidak dapat lupakan.
  2. Tuliskan satu ceritakan tentang keluarga kamu.

3.3 JENIS-JENIS PENILAIAN

Penilaian ialah proses yang digunakan untuk membuat keputusan atau pertimbangan nilai daripada beberapa pemerhatian. Oleh itu tujuan menilai dalam konteks persekolahan atau di bilik darjah adalah berkait rapat dengan pengajaran dan pembelajaran. Dari segi pengajaran, maklumat yang diperolehi hasil penilaian yang dijalankan akan dapat membantu guru memperbaiki pengajaran. Sekiranya penyampaian kurang berkesan, maka guru boleh membuat keputusan untuk menggunakan kaedah atau pendekatan lain yang difikirkan lebih bersesuaian.

Dalam konteks pembelajaran pula, maklumat daripada penilaian tersebut, guru boleh mendiagnos kelemahan dan kekuatan pelajar tentang sesuatu topik pembelajaran. Daripada maklumat tersebut juga, guru boleh memberi gred atau markah serta menempatkan pelajar mengikut aliran pengajian tertentu. Penilaian yang dijalankan oleh guru boleh diklasifikasikan kepada beberapa bentuk seperti penilaian rujukan norma, rujukan kriteria, penilaian formatif dan penilaian sumatif.

Mengapa guru menguji murid-muridnya?

Apakah maklumat yang diperlukan oleh guru apabila memberikan ujian?

Apakah yang harus guru lakukan dengan maklumat yang diperolehi daripada ujian atau penilaian yang dijalankan?

Text Box: Mengapa guru menguji murid-muridnya?    Apakah maklumat yang diperlukan oleh guru apabila memberikan ujian?   Apakah yang harus guru lakukan dengan maklumat yang diperolehi daripada ujian atau penilaian yang dijalankan?

3.3.4 Penilaian Rujukan Norma

Keputusan yang diperolehi oleh murid-murid memberikan beberapa maklumat kepada guru. Pertama, keputusan yang diperolehi oleh murid-murid itu dibandingkan dengan keputusan murid yang lain yang mengambil ujian yang sama atau kedudukan seseorang murid boleh dibandingkan dengan murid lain boleh dalam bilik darjah yang sama atau dalam sesebuah negara. Pendekatan ini dikenali sebagai ujian atau penilaian rujukan norma.

Ujian atau penilaian yang dibina adalah bertujuan untuk mendapatkan perbezaan yang maksimum antara murid-murid berkenaan. Bagi memastikan tercapai tujuan berkenaan, tahap kesukaran item dikawal agar tidak terlalu sukar dan terlalu mudah. Lazimnya kesukaran soalan adalah berdasarkan nisbah 25% mudah, 50% sederhana dan 25% sukar. Keputusan daripada penilaian atau ujian akan mencerminkan siapa lebih pandai atau di mana kedudukan seseorang pelajar dalam sesuatu bilik darjah atau sekolahnya.

Ujian rujukan norma ini tidaklah memberikan maklumat secara terperinci tentang kemahiran seseorang murid. Sebaliknya apa yang diberikan penekanan ialah tentang siapa lebih baik daripada siapa. Keadaan ini memerlukan item penilaian benar-benar dapat memastikan perbezaan (mendiskriminasikan) antara pelajar.


http://www.geocities.com/kheru2006/3.2.JPG

Menurut Popham (1981), ujian rujukan norma digunakan bagi menentukan status seseorang murid berpandukan prestasi murid yang lain dalam sesuatu ujian berkenaan. Misalnya, seorang murid dapat menjawab 50 item dengan betul daripada 60 butiran ujian. Skor mentah murid ini ialah 50. Kedudukan murid ini dibandingkan dengan calon lain dengan menggunakan satu jadual norma. Jadual berkenaan akan menunjukkan kedudukan calon dalam bentuk pangkat peratusan berbanding dengan satu kumpulan norma yang ditetapkan. Andaikan skor mentah tadi memberikan bacaan pangkat peratusan ke-83 mengikut jadual norma, maknanya muri tersebut berprestasi melebihi atau menyamai 82 peratus daripada murid-murid lain dalam kumpulan norma.

Dalam konteks penilaian ini, jika ramai murid yang mendapat skor yang rendah, markah lulus lazimnya cenderung akan rendah. Begitu juga sebaliknya. Dengan itu, ada kemungkinan murid yang lemah akan lulus kerana terdapat murid-murid lain yang lebih lemah.

3.3.5 Penilaian Rujukan Kriteria

Ujian atau penilaian rujukan kriteria memberikan penekanan yang berbeza daripada ujian rujukan norma. Matlamat ujian ini bukan untuk membandingkan prestasi antara murid. Tetapi lebih menumpukan kepada perbandingan kepada kriteria yang sama yang telah ditetapkan sama ada tercapai atau tidak. Pendekatan ini dipelopori oleh Glaser pada tahun 1963 (dipetik daripada Popham, 1971). Menurut Glaser (1973) kriteria yang digunakan tidak bermaksud akhiran sesuatu kemahiran, tetapi kriteria itu bergantung kepada penetapan oleh guru, yakni pada aras mana yang ingin guru tetapkan kriteria yang harus dicapai oleh murid-murid.

Menurut Popham (1981) ujian rujukan kriteria digunakan untuk menentukan status individu berhubung domain tingkah laku yang didefinisikan. Ujian rujukan kriteria merujuk kepada satu set tingkah laku kriteria yang telah ditetapkan.

Bagaimanakah penilaian formatif dan penilaian sumatif dijalankan?

Text Box:   Bagaimanakah penilaian formatif dan penilaian sumatif dijalankan?


3.3.7 Penilaian Formatif

Bagi mencapai matlamat dan objektif yang dirancangkan, aktiviti penilaian seringkali memberikan maklumat penting kepada guru untuk melaksanakan tindakan seterusnya. Penilaian yang dijalankan bagi tujuan memperoleh maklumat bagi memperbaiki kurikulum dikenali penilaian formatif. Penilaian ini dijalankan sepanjang masa dan maklumat yang diperolehi daripada penilaian ini digunakan secara terus menerus. Penilaian lazimnya mendatangkan kesan negatif sama ada kepada murid, guru atau ibu bapa sendiri. Hal ini demikian kerana penilaian sering kali menimbulkan ketegangan kepada golongan berkenaan. Dengan itu, penilaian formatif cuba mengurangkan ketegangan tersebut tanpa membandingkan pencapaian antara pelajar.

Pendidik yang beramanah seharusnya memberikan penerangan dan bimbingan kepada murid dan kepada ibu bapa murid akan kegunaan serta tujuan penilaian formatif. Ujian yang dibentuk dalam penilaian ini seharusnya bercorak ujian diagnostik yakni yang dapat memberikan input akan masalah yang dihadapi murid dalam mengikuti pembelajaran. Ujian dijalankan sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Manakala maklumat yang diperolehi hendaklah digunakan serta merta dalam memperbaiki pengajaran dan pembelajaran agar pelajar dan guru sama-sama memperolehi manfaat daripadanya. Misalnya, guru dapat mengenal pasti kelemahan penyampaian pengajarannya, manakala murid dapat mengetahui kelemahan aspek tertentu dalam pembelajaran. Dengan itu penilaian ini bukan sekali-kali bertujuan membandingkan pelajar sebaliknya ingin membantu murid. Dengan itu, tidak ada gred diberikan kepada penilaian atau ujian yang dijalankan. Contoh penilaian formatif seperti sesi soal jawab, latihan yang diberikan guru dan ujian di bilik darjah yang tidak ditentukan gred.

Bagi memastikan pelaksanaan penilaian yang berkesan, beberapa langkah atau prosedur perlu diberikan tumpuan atau perhatian oleh guru, iaitu:

iv. Menentukan topik pembelajaran. Dalam sesuatu sukatan pelajaran, mengandungi beberapa topik yang seharusnya dihabiskan sepanjang sesi persekolahan untuk satu tahun. Pengajaran topik-topik berkenaan memerlukan masa yang lama untuk menghabiskan semua sukatan berkenaan. Langkah terbaik ialah menyusun topik berkenaan mengikut peringkat kesukaran. Seandainya topik tersebut mempunyai cakupan yang luas, maka penekanan harus diberikan dan mungkin diperlukan dikecilkan kepada sub-topik tertentu. Dengan cara ini guru akan dapat memastikan murid-murid menguasai sesuatu sub-topik tertentu terlebih dahulu sebelum meneruskan kepada topik-topik seterusnya. Sebelum beralih kepada topik lain, guru akan mengadakan ujian formatif untuk melihat tahap penguasaan sesuatu topik.

v. Menyatakan aspek dan tahap pencapaian bagi sesuatu topik pembelajaran. Guru harus mengenal pasti aspek-aspek tertentu setiap topik yang perlu dikuasai oleh pelajar. Misalnya pelajar dapat mengenal warna, simbol, membaca dan lain-lain mengikut keperluan topik berkenaan. Setelah aspek berkenaan ditentukan, maka guru boleh menentu tahap penguasaan murid-murid dalam bilik darjah terhadap satu-satu topik berkenaan. Dalam hal ini apabila keputusan menunjukkan 80% hingga 90% pelajar telah menunjukkan penguasaan terhadap sesuatu topik, memperlihatkan bahawa kebanyakan pelajar sudah menguasai topik berkenaan.

vi. Menghubungkaitkan elemen-elemen yang terdapat dalam setiap topik. Guru perlu menyusun elemen-elemen yang terdapat dalam topik-topik pembelajaran pada peringkat perlakuan tertentu dengan berdasarkan taksonomi pendidikan. Setelah pemeringkatan mengikut tahap perlakuan selesai, gurus seterusnya mengaitkan semua elemen berkenaan yang terdapat dalam satu-satu topik agar saling bertautan dan tidak terpisah.

vii. Membentuk soalan ujian. Selepas penentuan elemen-elemen berkenaan, misalnya ada sepuluh elemen dalam sesuatu topik, maka setiap elemen berkenaan seharusnya diuji kepada pelajar sekurang-kurangnya satu soalan.

viii. Mencadangkan langkah susulan. Tujuan penilaian formatif dijalankan ialah antara lain untuk mengetahui tahap penguasaan sesuatu topik pembelajaran di samping kesukaran yang dihadapi oleh murid-murid. Dengan itu tindakan susulan harus dilaksanakan berdasarkan keputusan ujian yang diperolehi. Misalnya, murid-murid masih menunjukkan kelemahan ketara dalam sesuatu topik, maka tindakan selanjutnya yang harus diambil oleh guru ialah mengulang semula topik berkenaan atau mengubah suai pendekatan penyampaian agar murid-murid boleh menguasai topik tersebut.

Penilaian formatif atau ujian formatif dianggap sebagai suatu strategi pengajaran dan pembelajaran yang dapat membantu guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru dan murid-murid masing-masing saling memperolehi maklumat akan kelemahan-kelemahan yang wujud semasa pengajaran pembelajaran berlangsung berdasarkan keputusan ujian yang ditunjukkan. Ini memberikan motivasi kepada guru dan murid untuk membaiki prestasi masing-masing. Guru memperbaiki prestasi penyampaian manakala murid memperbaiki strategi pembelajaran.

3.3.7.1 Tujuan Penilaian Formatif

Pada asasnya, penilaian formatif bertujuan untuk memperbaiki pengajaran pembelajaran. Di samping memperbaiki pengajaran dan pembelajaran, secara langsung penilaian yang dijalankan dapat meningkatkan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu pelajaran. Hal ini dapat direalisasikan melalui ujian-ujian yang dikendalikan dapat memperlihatkan kelemahan-kelemahan yang wujud sama ada pada penyampaian guru atau penguasaan murid dan seterusnya guru akan memperbaiki agar murid dapat menguasai dengan lebih baik. Situasi ini akan menolong murid-murid menguasai sesuatu unit atau topik pembelajaran dan ini memungkinkan mereka memperolehi pencapaian yang lebih baik pada akhir penggal atau semester persekolahan.

Penilaian formatif juga dapat memperbaiki kualiti serta dapat meramal pencapaian pelajar. Menjadi satu kepuasan kepada seseorang guru apabila beliau dapat meningkatkan pencapaian murid-murid dari semasa ke semasa. Dengan mengadakan ujian formatif, guru dapat meninggi pencapaian dan mengekalkan pencapaian yang memuaskan. Hal ini melalui perbandingan yang boleh dibuat antara pencapaian murid sekarang dengan pencapaian murid-murid lalu melalui rekod ujian formatif yang telah dikendalikan dan mencatatkan masalah yang dihadapi oleh murid-murid dahulu serta langkah penyelesaian yang telah diambil. Dengan cara ini, guru dapat mengekalkan prestasi pelajar dan meramal pencapaian pada akhir penggal persekolahan.

Di samping itu, kegunaan penilaian formatif juga bertujuan mengubah suai pengajaran seseorang guru. Hal ini kerana pencapaian yang rendah di kalangan murid-murid barangkali disebabkan oleh kelemahan pengajaran guru itu sendiri. Pendekatan yang diambil oleh guru berkenaan tidak semestinya sama dalam semua sesi pembelajaran yang dikendalikan. Begitu juga murid-murid yang dihadapinya terdiri daripada pelbagai peringkat kebolehan. Ada yang sederhana, lemah dan cemerlang. Keadaan ini memerlukan pengubahsuaian dalam penyampaian guru agar pembelajaran lebih berkesan. Berasaskan penilaian yang dijalankan guru dapat mengenal pasti aspek atau topik yang menunjukkan kecenderungan murid-murid masih lemah dan topik yang telah dikuasai oleh murid. Selain mengatasi kelemahan dalam pengajaran, guru juga dapat menentukan pendekatan yang lebih baik dalam penyampaian. Misalnya, guru menggunakan pendekatan syarahan dalam menyampaikan pengajaran. Pada akhir topik berkenaan, satu ujian formatif dilakukan dan mendapati kebanyakan murid kurang memahami topik yang diperkatakan. Dengan itu guru dapat memahami bahawa pendekatan berkenaan tidak sesuai dan beliau boleh mengubah dengan menggunakan pendekatan lain seperti perbincangan dan sebagainya.

Penilaian formatif juga bertujuan untuk memberikan bimbingan pembelajaran kepada murid-murid. Maklumat yang diperolehi daripada siri ujian yang dijalankan dapat digunakan oleh murid-murid untuk mengatasi kelemahan mereka. Mereka boleh berbincang dan mendapat bimbingan serta khidmat nasihat daripada guru mereka. Dengan cara itu, murid-murid berkenaan dapat mengatasi masalah mereka dan seterusnya meningkatkan penguasaan pembelajaran. Mereka juga akan menjadi sentiasa bersedia untuk menduduki siri ujian yang dijalankan dan dengan itu memerlukan ketekunan dan tumpuan kepada topik-topik pembelajaran.

Kesimpulannya, penilaian atau ujian formatif adalah suatu strategi dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bermanfaat dalam membantu pelajar dan guru. Maklum balas yang diperolehi dapat digunakan oleh guru dan murid-murid serta merta dalam memperbaiki kelemahan-kelemahan yang wujud. Ia memberikan motivasi kepada guru untuk terus berusaha dengan gigih bagi memastikan kecemerlangan pelajar. Manakala pada pihak murid-murid pula, ia memberikan harapan tinggi mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

3.3.8 Penilaian Sumatif

Berbeza dengan penilaian formatif yang lebih menumpukan menilai tahap penguasaan pelajar dalam satu-satu topik pembelajaran, penilaian sumatif bertujuan untuk menentukan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu penggal persekolahan dan digunakan untuk menentukan keberkesanan sesuatu kurikulum secara keseluruhan.

Tujuan penilaian sumatif bukanlah untuk membantu murid-murid secara individu dalam meningkatkan pencapaian. Tujuan penilaian sumatif ialah untuk menentukan sejauh mana objektif-objektif sesuatu bidang mata pelajaran yang telah disampaikan oleh guru semasa pengajaran pembelajaran berlangsung di bilik darjah telah dicapai oleh murid-murid. Dengan berdasarkan objektif yang telah ditetapkan melalui pembinaan jadual penentuan ujian, peratusan objektif yang dapat dicapai oleh pelajar dapat diketahui.

Kedua, penilaian sumatif bertujuan memberikan gred kepada murid-murid berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diadakan. Dengan adanya gred yang diberikan, akan memudahkan guru untuk membuat perbandingan antara individu dalam satu-satu bilik darjah atau membuat perbandingan mengikut tingkatan atau kumpulan pelajar. Dengan cara ini guru boleh membuat kesimpulan peringkat pencapaian pelajar mengikut kumpulan tertentu misalnya kumpulan pelajar lemah, sederhana dan cemerlang. Contoh penilaian sumatif seperti penilaian pada akhir penggal, peperiksaan percubaan, UPSR, PMR dan sebagainya.

Bagi memastikan keberkesanan dalam pentadbiran penilaian sumatif, langkah-langkah berikut harus diberikan penekanan:

i. Membentuk jadual penentuan ujian yang mengandungi maklumat yang lengkap berkaitan objektif, bentuk item, jumlah item, tempoh penilaian, kandungan dan sebagainya. Ini bagi memastikan kesahan ujian yang bakal dilaksanakan dan kebolehpercayaan keputusan yang diperolehi.

ii. Menggubal soalan-soalan yang berkaitan dengan isi dan perlakuan yang ingin diuji. Setiap item haruslah menguji objektif pelajaran yang telah ditetapkan.

iii. Mengumpul item secara sistematik. Misalnya mengelompokkan item mengikut bentuk yang sama. Item objektif diasingkan dengan item mengisi tempat kosong, esei dan sebagainya. Item juga boleh disusun mengikut susunan topik atau mengikut aras kemahiran kognitif. Misalnya menyusun soalan bermula aras rendah diikuti aras lebih tinggi.

iv. Menyiapkan skema pemarkahan bagi tujuan penyemakan kertas ujian. Ini dapat mengelakkan berlakunya bias dalam pemberian markah murid-murid.

v. Menyediakan arahan yang jelas tentang apa yang seharusnya murid lakukan dalam menjawab setiap soalan yang dikemukakan.

vi. Menguji item tersebut terlebih dahulu melalui ujian rintis kepada sampel pelajar bagi memastikan ujian yang bakal dijalankan itu benar-benar sah dan boleh dipercayai serta dapat membaiki kelemahan-kelemahan yang wujud pada item berkenaan.

vii. Menganalisis item yang telah ditadbir secara rintis bagi mengetahui aras kesukaran item, daya diskriminasi item, ketunggalan item, kesahan dan kebolehpercayaan berkenaan serta memastikan pilihan jawapan yang disediakan (distraktor) dapat berperanan dengan baik.


3.3.8.1 Tujuan Penilaian Sumatif

Pada umumnya, penilaian sumatif untuk menentukan pencapaian murid sebagai satu kumpulan dengan membezakan antara pencapaian pelajar berdasarkan gred yang telah ditentukan. Selain itu, penilaian sumatif juga bertujuan untuk mengiktiraf kebolehan dan kemahiran yang dimiliki oleh pelajar. Ini berdasarkan skor yang diperolehi oleh pelajar dalam penilaian yang dijalankan.

Guru atau pendidik juga dapat membuat ramalan akan kejayaan murid dalam sesuatu mata pelajaran. Pencapaian pada peringkat awal biasanya mempunyai perhubungan yang tinggi dengan peringkat pencapaian yang seterusnya. Misalnya, kemahiran mengenal huruf murid akan menjadi ramalan kepada kemahiran untuk menyusun huruf-huruf dalam membentuk perkataan pada masa depan.

Penilaian sumatif juga dapat dijadikan petunjuk dalam memulakan sesuatu kursus baru yang berkaitan. Sebelum memulakan sesuatu kursus baru murid-murid dikehendaki terlebih dahulu menduduki ujian yang menentukan peringkat pencapaian mereka agar dapat memastikan murid-murid berkenaan telah menguasai kemahiran asas yang diperlukan dalam sesuatu kursus baru berkenaan. Sekiranya murid-murid berkenaan sudah mencapai peringkat tertentu, barulah mereka dibenarkan untuk mengambil kursus tersebut.

Selain itu, keputusan penilaian sumatif juga dapat memperlihatkan peringkat pencapaian yang berbeza mengikut kumpulan. Item yang sama ditadbir kepada beberapa kumpulan bagi tujuan membuat perbandingan pencapaian yang diperolehi. Dengan cara itu, perbandingan pencapaian dapat dibuat dalam menentukan kelompok pelajar lemah, sederhana dan cemerlang serta kelas (bilik darjah) yang lemah dan cemerlang.

Kesimpulannya, penilaian sumatif ialah penilaian yang dijalankan telah lama dilaksanakan dalam dunia pendidikan dengan tujuan utama ialah untuk memberikan gred kepada pencapaian murid. Di samping itu, penilaian ini juga dapat digunakan secara menyeluruh dalam memperbaiki sesuatu kurikulum kerana keputusan yang diperolehi lebih menyeluruh.

3.3.9 Perbezaan Penilaian Formatif Dan Penilaian Sumatif

Aspek

Penilaian Formatif

Penilaian Sumatif

Konsep

Ujian yang boleh dibentuk dan ditadbir secara formal atau tidak formal bagi mengesan kemajuan atau penguasaan murid terhadap sesuatu pembelajaran

Ujian yang dijalankan secara formal bagi mengesan pencapaian murid dalam tempoh tertentu persekolahan.

Tujuan

Mengenal pasti tahap penguasaan dan kemajuan murid dan seterusnya mengambil langkah susulan bagi membaiki kelemahan yang wujud.

Mengenal pasti pencapaian pelajar untuk beberapa topik pembelajaran dan seterusnya memberikan skor dan gred pencapaian pelajar.

Waktu penilaian

Sepanjang pengajaran dan pembelajaran berlangsung

Selepas beberapa topik pembelajaran atau pada pertengahan atau akhir penggal persekolahan.

Kaedah

Formal : pensel-kertas

Tidak formal : pemerhatian, soal jawab, tugasan, latihan

Dibuat secara individu atau dalam kumpulan

Dibuat secara formal – ujian pensel-kertas, lisan.

Dijalankan secara berkumpulan

Selepas penilaian dijalankan

Membaiki kelemahan murid serta merta dengan mengulang semula topik pembelajaran – pemulihan

Menjalankan aktiviti pengukuhan – pengayaan

Menempatkan murid mengikut kumpulan pencapaian yang sesuai.

Memberikan pengiktirafan – sijil, hadiah dsb.

Membaiki kurikulum / mata pelajaran

RUMUSAN

Dalam menyediakan ujian yang baik dan berkesan, guru merupakan penggerak utama. Hal ini demikian kerana guru yang lebih arif tentang bidang yang telah diliputi sepanjang pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Ujian yang dilaksanakan oleh guru dapat memberikan tentang kesan pembelajaran untuk tempoh yang pendek mahupun jangka waktu yang lebih panjang. Ujian yang dilakukan dalam tempoh pengajaran pembelajaran yang berlangsung membolehkan guru mengetahui tahap penguasaan pelajar tentang topik-topik yang telah dibincangkan di samping mengetahui masalah yang dihadapi pelajar dan seterusnya menjalankan aktiviti yang bersesuaian seperti aktiviti pemulihan. Sementara ujian yang dijalankan pada akhir sesuatu penggal aman memberikan maklumat berkenaan pencapaian pelajar secara umum setelah pengajaran pembelajaran berlangsung dalam tempoh tertentu. Dengan itu juga guru-guru dapat membandingkan serta menggredkan pelajar mengikut pencapaian yang diperolehi sama ada dalam kumpulan pelajar yang lemah sederhana atau cemerlang

Latihan:

  1. Mengapakahkah aktiviti penilaian dijalankan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah?

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan ujian rujukan norma

  1. Nyatakan maklumat yang boleh diperolehi daripada ujian di bawah:

a. Penilaian formatif

b. Penilaian sumatif

Text Box: Latihan:   Mengapakahkah aktiviti penilaian dijalankan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah?   Apakah yang dimaksudkan dengan ujian rujukan norma   Nyatakan maklumat yang boleh diperolehi daripada ujian di bawah: a.            Penilaian formatif b.            Penilaian sumatif


Ringkasan:

Ujian pencapaian - ujian yang digubal oleh guru bagi mengukur sejauh mana sesuatu kumpulan murid atau seseorang murid berkenaan telah menguasai sesuatu topik yang telah dipelajar.

Ujian kecerdasan – disebut juga ujian mental - mengukur perbezaan di antara individu.

Ujian prestasi - memerlukan para pelajar membuat beberapa tugasan lain sebagai tambahan. Penekanan yang diberikan kepada kebolehan murid-murid melakukan sesuatu tugasan.

Ujian diagnostik - mengenal pasti masalah yang berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran dan menentukan punca-punca yang menyebabkan masalah.

Ujian kecekapan - digunakan oleh seseorang guru untuk menguji kebolehan atau kecekapan seseorang murid melaksanakan sesuatu tugas atau aktiviti.

Ujian bakat - Ujian yang dikaitkan dengan aktiviti membuat telahan ke atas calon tentang bakat atau keistimewaan yang dimiliki.

Ujian personaliti - untuk mengenal pasti potensi diri, personaliti, tahap kemahiran, keupayaan , minat, nilai dan sikap seseorang murid.

Ujian rujukan Norma – keputusan ujian seseorang calon dibandingkan dengan dengan keputusan pelajar yang lain yang mengambil ujian yang sama sama ada dalam kelas yang sama atau berlainan.

Ujian rujukan kriteria – maklumat atau prestasi pelajar dibandingkan dengan kriteria yang telah ditetapkan tanpa melibatkan perbandingan antara pelajar.

Penilaian formatif – penilaian berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Memberikan maklumat sejauhmana pembelajaran telah dikuasai.

Penilaian sumatif – dikaitkan penilaian pada akhir penggal atau semester. Memberikan nilai yang membezakan antara peringkat pencapaian pelajar.

5 comments: