Monday, February 2, 2009

KONSTRUK (Domain Kognitif Bloom)

KONSTRUK

DEFINISI

Konstruk ialah perkara yang hendak ditaksir, merupakan dimensi manusia yang berbentuk konkrit seperti tinggi dan berat atau yang berbentuk abstrak seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, yang cuba dibangunkan atau diperkembangkan melalui hasil pembelajaran sesuatu mata pelajaran. Kontruk mesti dikenalpasti berdasarkan dokumen kurikulum.

Konstruk yang ditaksir boleh dikategorikan sebagai :

1. Pengetahuan, contohnya : fakta,prinsip,teori,kriteria,terminologi, peraturan dan kaedah.
2. Kemahiran, contohnya : Kemahiran intelektual, mengorganisasi, menyelesaikan masalah, mengaplikasi dan menyiasat serta amali.
3. Nilai, contohnya : Bertanggungjawab, menghargai, bersistem, bekerjasama, akauntabiliti, dan berkeyakinan


KOGNITIF DAN PENINGKATANNYA

Kompenen kognitif yang melibatkan proses mental yang berkait rapat dengan kepintaran akal, kebolehan numerik am, kemahiran verbal, kemahiran menaakul, kemahiran menyelesaikan masalah adalah sebahagian daripada beberapa perkara yang lazimnya dikaitkan dengan kognitif. Proses mental ini boleh dibahagikan kepada dua yang asas iaitu pengetahuan dan kemahiran. Bloom bersama-sama rakan-rakannya membahagikan kebolehan kognitif kepada enam peringkat iaitu pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian.


1.0 PENGETAHUAN
Pengetahuan berasal daripada pengalaman, pemerhatian yang diterima secara terus atau melalui pembacaan dan diberitahu oleh seseorang lain merupakan cebisan maklumat dan menjadi sebahagian daripada struktur pengetahuan dalam mental seseorang. Jika pengetahuan ini disimpan dalam ingatan tanpa sebarang pemikiran lanjut, ia akan kekal sebagai maklumat yang paling sedikit kegunaannya kepada kita. Maklumat ini boleh dikeluarkan semula dalam bentuk asal apabila disoal semula menggunakan item atau tugasan yang berbentuk recall.

Pengetahuan bermaksud mengingati semula perkara yang telah dipelajari, mengingati fakta-fakta spesifik hingga teori-teori yang sukar dan merupakan hasil pembelajaran yang rendah dalam aras kognitif.


Komponen Pengetahuan
Pengetahuan boleh dibahagikan kepada beberapa komponen kecil iaitu:
1.1.1 Pengetahuan tentang terminologi
1.1.2 Pengetahuan tentang fakta
1.1.3 Pengetahuan tentang kelaziman/konvensyen
1.1.4 Pengetahuan tentang urutan
1.1.5 Pengetahuan tentang pengkelasan
1.1.6 Pengetahuan tentang kriteria
1.1.7 Pengetahuan tentang metodologi/kaedah
1.1.8 Pengetahuan tentang prinsip dan generalisasi
1.1.9 Pengetahuan tentang teori dan struktur


2.0 KEFAHAMAN
Kefahaman ialah kebolehan kognitif yang melibatkan penggunaan pengetahuan tanpa situasi baru dan tidak memerlukan atau memperihalkan tentang implikasi terhadap pengetahuan tersebut. Kefahaman dibahagikan kepada tiga kemahiran kognitif, iaitu penterjemahan, inter-pretasi dan ekstrapolasi.

Penterjemahan
Penterjemahan ialah kebolehan menyatakan suatu konsep yang diketahui dengan menggunakan perkataan atau simbol yang lain. Antara aktiviti yang melibatkan kefahaman di peringkat penterjemahan ialah :
2.1.1 Menterjemah secara literasi dari satu bahasa ke bahasa yang lain.
2.1.2 Menukar dari bentuk simbol kepada bentuk verbal, atau sebaliknya
2.1.3 Membaca Al-Quran
2.1.4 Membaca skor muzik

Interpretasi

Interpretasi ialah kebolehan menghubungkait bahagian-bahagian dalam suatu set komunikasi dan menyatakan dalam bentuk lain (verbal atau grafik) dengan mengekalkan makna set komunikasi itu. Antara aktiviti yang melibatkan kefahaman diperingkat interpretasi ialah :
2.2.1 Menyatakan suatu pernyataan, peristiwa lalu atau konsep dengan menggunakan olahan bahasa yang tersendiri, mengubah susun atur konteks asalnya atau meringkaskannya tanpa mengubah makna tujuan asalnya.
2.2.2 Menginterpretasi graf, carta, peta jadual, kartun ke bentuk verbal atau sebaliknya.
2.2.3 Memperjelaskan maksud perkataan dengan konteks penggunaannya dalam suatu puisi.

Ekstrapolasi
Ekstrapolasi ialah kemahiran yang melibatkan interpretasi tetapi hanya melampaui maklumat yang terdapat dalam set komunikasi berkenaan. Kemahiran ini menghasilkan ramalan, inferens atau anggaran berdasarkan pemerhatian, pengalaman, corak, trend atau suatu urutan berkala. Antara aktiviti yang melibatkan kefahaman di peringkat ekstrapolasi ialah :
2.3.1 Membuat kesimpulan awal daripada pemerhatian, pengetahuan dan pengalaman.
2.3.2 Membuat ramalan berdasarkan set data atau graf
2.3.3 Membuat jangkaan berdasarkan sebab dan tindakan dalam suatu set komunikasi.


3.0 APLIKASI

Aplikasi ialah kebolehan menggunakan prinsip dan generalisasi pada satu masalah dan situasi baru. Masalah dan situasi baru membawa maksud masalah dan situasi itu hampir sebahgiannya baru kepada murid. Ia mungkin kelihatan serupa seperti yang pernah mereka selesaikan tetapi mengandungi sedikit elemen yang bersifat baru dan di luar kebiasaan pelajar, di mana pelajar tidak dapat menyelesaikan hanya dengan mengingat semula penyelesaian yang pernah dilakukan. Ia tidak mempunyai elemen yang baru jika hanya menukar nama dan angka dalam masalah itu. Idea, konsep, prinsip, teori, hukum, prosedur dan sebagainya yang telah dipelajari perlu digunakan dalam masalah dan situasi baru itu.

Tingkah laku pelajar semasa menjawab soalan berbentuk aplikasi biasanya melakukan perkara berikut :
3.1.1 Mengenal pasti tugasan soalan dengan;
3.1.2 Menentukan apakah yang diberi dan apakah yang diperlukan.
3.1.3 Mengenepikan perkara yang tidak berkaitan.
3.1.4 Menyusun semula dalam bentuk atau corak yang mudah diselesaikan.

Mengingat semula prinsip atau genealisasi yang berkaitan untuk digunakan.
Melakukan penyelesaian masalah. Antara aktiviti yang melibatkan aplikasi prinsip dan generalisasi dalam penyelesaian masalah ialah :
3.3.1 Kebolehan mengenalpasti prinsip atau generalisasi yang berkaitan untuk menyelesaikan masalah dalam situasi baru.
3.3.2 Menentukan had lingkungan suatu prinsip atau generalisasi itu sesuai digunakan.
3.3.3 Mengenalpasti pengecualian tentang suatu generalisasi untuk menyelesaikan masalah.
3.3.4 Menerangkan suatu fenomena yang baru menggunakan suatu prinsip atau generalisasi
3.3.5 Meramal apa yang berlaku dengan menggunakan prinsip atau generalisasi yang berkenaan.
3.3.6 Memberi justifikasi terhadap suatu tindakan atau keputusan dalam masalah yang baru dengan menggunakan prinsip atau generalisasi yang berkenaan.


4.0 ANALISIS

Analisis ialah kebolehan memisahkan suatu set komunikasi kepada elemen atau bahagian-bahagiannya sehingga suatu bentuk pertalian antara elemen-elemenatau bahagian-bahgian yang membina set komunikasi itu dapat dilihat dengan jelas. Bloom bersama rakan-rakannya membahagikan kemahiran menganalisis kepada tiga peringkat, iaitu analisis elemen, analisis perkaitan dan analisis organisasi elemen ialah :

Analisis Elemen

Analisis elemen ialah kemahiran mengenalpasti perkara pokok yang terdapat dalam suatu set komunikasi, seperti anggapan, pandangan sifat, fungsi, nilai dan sebagainya. Antara aktiviti yang melibatkan kemahiran menganalisis elemen ialah :
4.1.1 Mengecam dan mengenalpasti fakta daripada pernyataan set komunikasi itu.
4.1.2 Mengecam kesimpulan daripada pernyataan yang menyokongnya.
4.1.3 Mengenalpasti anggapan yang tidak dinyatakan eksplisit dalam set komunikasi itu.
4.1.4 Mengenalpasti motif dalam sesuatu lukisan.

Analisa Perkaitan

Analisa perkaitan ialah kemahiran memperlihatkan saling kaitan antara elemen atau bahagian-bahagian dalam suatu set komunikasi seperti perkaitan hipotesis dengan pemerhatian, anggapan dengan hujah, sebab dengan akibat dan sebagainya. Antara aktiviti yang melibatkan kemahiran menganalisis perkaitan ialah :
4.2.1 Mengenalpasti perkaitan hujah dengan kesimpulan.
4.2.2 Menentukan keserasian hipotesis dengan maklumat yang diberi dan anggapan yang
dibuat.
4.2.3 Mengenalpasti suatu perkara yang releven dengan suatu penilaian.
4.2.4 Menganalisis perkaitan sebab dan akibat dalam suatu peristiwa bersejarah.
4.2.5 Mengenalpasti perkaitan sebab dan kesan fenomenaekonomi.

Analisa Organisasi

Analisa organisasi ialah kemahiran mengenalpasti susunan yang sistematik, perkaitan mengikut urutan, struktur dan sebagainya yang mengorgansasikan suatu set komunikasi. Antara aktiviti yang melibatkan kemahiran menganalisis organisasi ialah :
4.3.1 Mengenalpasti tujuan, pendapat, prinsip, perasaan dan sebagainya dalam suatu set komunikasi.
4.3.2 Mengenalpasti tone, mood atau motif dalam lukisan.
4.3.3 Mengenalpasti bentuk dan corak.
4.3.4 Mengenalpasti sikap bias dalam suatu penulisan pertimbangan
4.3.5 Mengenalpasti pendekatan yang dilakukan dalam suatu penyiasatan sains.



5.0 SINTESIS

Sintesis ialah kemahiran yang menggabungkan elemen-elemen dan bahagian-bahagian untuk membentuk suatu set komunikasi. Ianya melibatkan proses menyusun dan menggabungkan sesuatu untuk membentuk suatu struktur persembahan atau corak yang tidak jelas sebelumnya. Berbanding dengan aras kebolehan kognitif sebelumnya, kemahiran mengsintesis lebih bersifat pemikiran mencapah dan kreatif di mana jawapan atau persembahan pelajar agak bebas dan unik. Bloom bersama rakan-rakannya membahagikan kemahiran mensintesis kepada tiga peringkat, iaitu penghasilan set komunikasi yang unik, penghasilan cadangan suatu set operasi dan penghasilan suatu set pertalian perkara-perkara abstrak.

Penghasilan Set Komunikasi Yang Unik

Peringkat ini berkaitan dengan kemahiran untuk menghasilkan suatu produk bebas seperti lukisan, tulisan, idea, eksperimen atau sebagainya. Antara aktiviti yang melibatkan kemahiran penghasilan set komunikasi yang unik ialah :
5.1.1 Mengemukakan idea melalui penulisan atau ucapan dengan organisasi yang baik.
5.1.2 Menulis cerita, karangan, cerpen atau puisi.
5.1.3 Melukis dan membina bahan grafik.
5.1.4 Mencipta lagu.

Penghasilan Cadangan Suatu Set Operasi

Peringkat ini berkaitan dengan kemahiran yang melibatkan penghasilan suatu pelan kerja atau cadangan untuk melakukan suatu aktiviti terancang. Antara aktiviti yang melibatkan kemahiran penghasilan cadangan suatu set operasi ialah :
5.2.1 Membuat cadangan tentang prosedur untuk menguji hipotesis.
5.2.2 Merekabentuk bangunan berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan.

Penghasilan Suatu Set Pertalian Perkara-perkara Abstrak

Peringkat ini berkaitan dengan kemahiran yang melibatkan pembinaan suatu perumusan bagi suatu set perkara yang abstrak untuk menerangkan suatu set data atau fenomena. Antara akiviti yang melibatkan kemahiran penghasilan suatu set pertalian perkara-perkara abstrak ialah :
5.2.3 Membina hipotesis berdasarkan data atau pemerhatian yang ada.
5.2.4 Menghasilkan penemuan matematik daripada pengolahan dan perumusan maklumat matematik.
5.2.5 Membina suatu kaedah penyelesaian dengan mengorganisasikan pengalaman.


6.0 PENILAIAN

Penilaian ialah kemahiran intelek yang paling tinggi dalam taksonomi bloom. Penilaian ialah kebolehan membuat pertimbangan dengan menggunakan kaedah dan kaedah yang piawai untuk menentukan kesesuaian, ketepatan, kecekapan, keberkesanan tentang sesuatu nilai, makna, pendapat, penyelesaian, prosedur, produk dan sebagainya. Bloom dan rakan-rakannya membahagikan kebolehan untuk membuat penialaian kepada 2 peringkat iaitu penialain berdasarkan eviden dalaman dan penilaian berdasarkan eviden luaran.

Penilaian Berdasarkan Eviden Dalaman

Peringkat ini ialah kemahiran membuat pertimbangan dengan menggunakan maklumat di dalam suatu set komunikasi. Antara aktiviti yang melibatkan kemahiran menilai berdasarkan eviden dalaman ialah :

6.1.1 Mengenalpasti ketepatan, kecukup cakupan, dan kerelevanan data.
6.1.2 Mengenalpasti sama ada data, metodologi dan perbincangan menyokong suatu dapatan atau kesimpulan yang dibuat.
6.1.3 Mengenalpasti sifat bias dan beremosi dalam suatu persembahan.
6.1.4 Mengenalpasti ketepatan dan kebolehpercayaan pelaporan suatu pemerhatian tentang fenomena alam.


Penilaian Berdasarkan Eviden Luaran

Peringkat ini ialah kemahiran membuat pertimbangan ke atas suatu hasil kerja criteria yang piawai yang dirumus oleh individu yang mahir dalam bidang berkenaan. Antara aktiviti yang melibatan kemahiran menilai berdasarkan eviden luaran ialah :
6.2.1 Menilai kualiti hasil persembahan seni berdasarkan suatu bench mark.
6.2.2 Menilai suatu hasil kerja ketukangan berdasarkan satu bench mark.



KATA TUGAS

Bil
Kata Tugas
Maksud
1
Analisiskan
Membuat pernyataan terperinci tentang sesuatu aspek atau perkara yang hendak dikimunikasikan
2
Anggarkan
Memberkan sesuatu sukatan yang dianggap sesuai dengan keadaan yang telah ditetapkan dengan menggunakan cirri-ciri suatu pengetahuan tertentu.
3
Bandingkan
Menyatakan persamaan dan perbezaan antara dua atau lebih perkara.
4
Bezakan
Menyatakan perbezaan antara dua atau lebih perkara.
5
Binakan
Membuat sesuatu menggunakan kaedah tertentu.
6
Bincangkan
Memberikan pandangan dengan pertimbangan perkara positif atau negatif.
7
Cadangkan
Memberikan pandangan dengan mempertimbangkan perkara positif atau negatif.
8
Hitungkan
Memberikan jawapan dengan kaedah pengiraan.
9
Hubungkaitkan
Membuat sesuatu pertalian berdasarkan beberapa ciri atau faktor.
10
Ilustrasikan
Menjelaskan dengan contoh sebagai gambar rajah.
11
Interprestasi
Memberikan maklumat atau makna lain bagi sesuatu komunikasi.
12
Kelaskan
Mengumpulkan kepada sesuatu kumpulan berdasarkan kriteria atau ciri tertentu.
13
Kenalpastikan
Memberikan petunjuk atau makluman terhadap sesuatu benda atau pernyataan yang dikenali atau dicam dengan jelas
14
Labelkan
Menandakan atau memberikan panggilan spesifik terhadap sesuatu rujukan pada rajah, graf, carta, ilustrasi, dan sebagainya
15
Lakarkan
Melukiskan gambar rajah secara kasar dan tidak memerlukan perincian.
16
Lukiskan
Memberikan persembahan berbentuk grafik bagi menggambarkan sesuatu benda atau perkara.
17
Membuat
hepotesis
Mengemukakan pernyataan yang boleh diuji tentang kesahehannya.
18
Mewajarkan
Membuat pertimbangan terhadap sesuatu dengan mengambil kira kebaikan dan keburukan.
19
Namakan
Memberikan panggilan yang spesifik terhadap sesuatu benda,istilah atau terminologi
20
Nyatakan
Memberikan jawapan yang spesifik tanpa memerlukan penerangan lanjutan.
21
Organisasikan
Membuat sesuatu berdasrkan apa yang dirancang.
22
Pamerkan
Menunjukkan persembahan terhadap penguasaan sesuatu perkara.
23
Ramalkan
Memberikan sesuatu nilai yang dijangkakan berdasarkan pola atau corak tertentu.
24
Reka
bentukkan
Membuat garis kasar, pelan tindakan dan melaksanakan sebagaimana perancangan
25
Ringkaskan

Memberi penerangan yang lebih padat daripada pernyataan asalnya dengan mengekalkan kandungan utamapernyataan itu.
26
Rumuskan
Membuat sesuatu perubahan dengan menggunakan kaedah atau prinsip tertentu
27
Selesaikan
Membuat sesuatu keputusan untuk mengatasi sesuatu masalah.
28
Senaraikan
Memberikan beberapa fakta,ciri,konsep,prinsip,teori dan sebagainya secara spesifik tanpa ada hubungan, perkaitan atau penerangan lanjutan bagi setiap satunya.
29
Susunkan
Membuat sesuatu urutan dengan menggunakan kaedah dan prinsip tertentu.
30
Takrifkan /
Definasikan
Memberikan keterangan yang ringkas tetapi jelas makna sesuatu perkataan khusus, istilah atau termonologi
31
Tentukan
Membuat sesuatu keputusan selepas mengambil kira beberapa perkara sebagai asas pertimbangan
32
Terjemahkan
Menukarkan suatu bentuk komunikasi kepada suatu bentuk komunikasi yang lain tanpa mengubah dan memperihalkan makna komunikasi tersebut.
33
Tukarkan
bentuk
Memberikan persembahan satu set komunikasi kepada suatu bentuk lain yang lazim
34
Ubahsuaikan
Membuat sesuatu perubahan dengan menggunakan kaedah dan prinsip tertentu.

2 comments:

  1. saya tak faham.. saya engineer
    kalau berjaya silibus ni.. Malaysia akan ada ramai Tun Sri Lanang..

    ReplyDelete
  2. HAHAHAH ENGINEER TAK FAHAM TAPI GURU FAHAM

    ReplyDelete